arena

Insentif rangsang kejayaan atlet

Oleh Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan pemberian insentif berjumlah RM929,200 kepada Kontinjen 2018 iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, Sukan Asia Jakarta-Palembang serta Sukan PARA Asia yang berlangsung di Indonesia.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia tanda keprihatinan terhadap sumbangan atlet, pegawai pasukan dan persatuan sukan negeri di tiga kejohanan sukan utama tahun lalu itu.

“Kita memberikan sejumlah RM831,200 kepada kontinjen Selangor yang mendapat tempat ketiga dengan memperoleh kutipan pingat sebanyak 47 emas, 69 perak dan 67 gangsa pada SUKMA ke-19 lalu.

“Kerajaan negeri turut mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan atlet negeri yang mewakili negara di Sukan Asia serta Sukan PARA Asia di Indonesia tahun lalu iaitu masing-masing sebanyak RM55,000 dan RM43,000.

“Seramai 16 atlet Selangor berjaya mengharumkan nama Malaysia di Indonesia, merangkumi sukan tenpin boling, sepak takraw, pencak silat, skuasy, terjun, basikal, sukan layar dan renang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif itu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, petang tadi.

Kata Mohd Khairuddin, pasukan menerima insentif tertinggi adalah skuad renang yang beraksi cemerlang pada SUKMA lalu.

Beliau berkata, insentif itu diharap memberi dorongan kepada penggiat sukan di negeri ini sekali gus berusaha lebih gigih bagi meningkatkan prestasi masing-masing.

“Kita sentiasa menyokong komitmen perancangan dalam memastikan kecemerlangan sedia ada dikekalkan menerusi bantuan kerajaan seperti peralatan sukan sekali gus melahirkan atlet berbakat,” katanya.

Sementara itu, penerima insentif tertinggi, Mohd Najib Turano (Sukan PARA Asia) berkata, dia amat menghargai sumbangan insentif berkenaan.

“Ia menjadi pemangkin semangat untuk saya beraksi dengan lebih cemerlang pada Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda yang akan berlangsung pada Mac depan.

“Saya mahu beraksi sebaik mungkin supaya pasukan kebangsaan dapat mengumpul mata untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 9:07pm
d