arena

Newcastle buat City terkedu

Oleh AFP

LONDON: Usaha Manchester City mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris terjejas, apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Newcastle, awal pagi tadi. 

City memerlukan kemenangan di St James' Park bagi merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool kepada kedudukan satu mata ketika The Reds dijadualkan berdepan Leicester City, awal pagi Khamis. 

Namun, skuad bimbingan Pep Guardiola yang mengharungi perlawanan ke-100 liga membuktikan mereka terpaksa melupakan gelaran berkenaan selepas gagal meraih tiga mata penting untuk mengejar Liverpool. 

Kekalahan pasukan di tangga kedua itu bermakna, Liverpool berpeluang menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata di puncak liga, dan mencerahkan peluang mereka meraih gelaran liga pertama sejak 1990. 

Dalam perlawanan tadi, City seolah-olah mampu menang mudah apabila mendahului saingan seawal 24 saat. 

Raheem Sterling melakukan hantaran silang kepada David Silva dan pemain tengah ini melakukan percubaan berani sebelum bertembung dengan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Sergio Aguero kemudiannya melakukan susulan dengan melakukan percubaan jarak dekat untuk meledak gol ke-17 peribadinya pada musim ini.

Selepas itu, City hilang rentak dan terus dihukum tuan rumah apabila Salomon Rondon menyamakan kedudukan pada minit ke-66 selepas menerima bola tandukan Isaac Hayden. 

Detik malang terus menimpa pelawat pada minit ke-80, apabila Fernandinho melakukan kekasaran ke atas Sean Longstaff untuk menghadiahkan Newcastle sepakan penalti.

Matt Ritchie bijak menyempurnakan peluang keemasan itu dengan melakukan sepakan rendah bagi meraih gol kedua tuan rumah.

Ia adalah kekalahan kedua City sejak tumbang kepada Leicester City pada 26 Disember lalu, sekaligus menamatkan rentetan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.  

 

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:16am
d