arena

Piatek terus pamer bisa

Oleh AFP

MILAN: Krzysztof Piatek membuktikan kenapa dia cukup penting untuk AC Milan apabila meledak dua gol dalam penampilan pertamanya, ketika skuad Gennaro Gattuso membenam Napoli 2-0 untuk melangkah ke pentas separuh akhir Coppa Itali, awal pagi tadi. 

Piatek, yang ditandatangani dari Genoa minggu lalu bagi menggantikan Gonzalo Higuain meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-11, sebelum menggandakan gol kedua selepas hampir 30 minit perlawanan berlangsung  – melalui gerakan serta kemahiran individu yang menarik.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh empat hari Milan memberikan masalah kepada Napoli dan meranapkan impian lawan untuk menjulang trofi, selepas terikat tanpa jaringan di San Siro, pada Sabtu lalu, yang menyaksikan skuad Carlo Ancelotti kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Serie A, Juventus.

Milan, yang juga juara lima kali akan berdepan sama ada Inter Milan atau Lazio yang akan beraksi awal pagi esok, – dan kali ini mempunyai peluang lebih cerah untuk mencipta kejayaan selepas tumbang 0-4 kepada Juventus, di pentas akhir musim lalu. 

Dalam aksi tadi, Piatek tidak membuang banyak masa untuk mencuri hati penyokong Milan, apabila menyambut hantaran bola jauh Diego Laxalt dan tenang meledak gol pertama melalui percubaan ke penjuru gawang. 

Pemain kebangsaan Poland ini kemudiannya meneruskan aksi cemerlang untuk sekali lagi merobek benteng pertahanan pelawat pada miniit ke-27 perlawanan.

Piatek yang menerima bola dari sebelah kiri, memecah masuk ke kubu lagi dengan melepasi dua pertahanan Napoli, sebelum melepaskan sepakan padu untuk menumbangkan penjaga gol Napoli, Alex Meret.

Pemain berusia 23 tahun ini kini meledak lapan gol menakjubkan dalam tiga aksi Coppa Itali musim ini, dengan menjaringkan empat gol ketika Genoa menentang Lecce pada Ogos, dan ketika menentang Virtus Entella, bulan lalu.  

Dalam perlawanan sebelum ini, Juventus mengekalkan rentak terbaik memburu gelaran kelima berturut-turut Coppa Itali dengan mengenepikan cabaran Atalanta, manakala dalam satu lagi pertembungan, Fiorentina akan menanti kunjungan AS Roma.  

 

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:22am
d