arena

Rodrigo julang Valencia

Oleh AFP

MADRID: Rodrigo meledak hatrik untuk membantu Valencia mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol, selepas bangkit menewaskan Gatafe yang terpaksa beraksi 10 pemain dengan kemenangan secara agregat, 3-2, pagi tadi.

Valencia turun dalam perlawanan itu dengan misi untuk kembali bangkit selepas tewas 0-1, dalam aksi pertama sekali gus menghidupkan peluang bagi merangkul trofi utama sejak menjuarai Piala Raja Sepanyol, 11 tahun lalu.

Tiga gol milik Rodrigo termasuk dua jaringan pada masa kecederaan membolehkan skuad bimbingan Marcelino mara ke separuh akhir dan akan bertemu pemenang antara Real Madrid atau Girona, selepas melakar kemenangan 3-1, dalam aksi kedua pagi tadi.

“Kami menunjukkan watak yang sebenar.

“Kami percaya dengan kemampuan kami, selain sokongan daripada penyokong,”  kata Rodrigo.

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat menerusi jaringan yang dihasilkan Jorge Molina seawal minit pertama.

Sedar mereka memerlukan kelebihan dua gol bagi layak ke pusingan seterusnya, Valencia menghidupkan peluang apabila Rodrigo menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Selepas itu, pertahanan tengah Getafe, Djene Dakonam diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki 16 minit.

Penyerang Sepanyol, Rodrigo membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak dua lagi gol pada minit ke-92, dan ke-93, sekali gus memastikan kemenangan mutlak buat pasukan itu.

“Ia malam yang cukup hebat buat Valencia.

“Kami bangkit daripada ketinggalan di babak pertama dan meneruskan kecemerlangan pada babak kedua,” kata Marcelino yang menyaksikan anak buahnya kembali menemui rentak selepas permulaan hambar dalam saingan Liga Sepanyol.

Mereka kini menghuni tangga ketujuh liga.  

 

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 10:45am
d