arena

'Hanya kerana Salah pemain Liverpool'

Oleh Reuters

LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjadi sasaran kritikan berikutan tindakannya merebahkan badan bagi mendapatkan penalti kerana dia beraksi untuk kelab terbaik di Liga Perdana Inggeris, kata pengurus, Juergen Klopp.

Salah, yang terbabit dengan empat penalti yang diperoleh Liverpool dalam lima perlawanan terakhir dikutuk kerana rebah di kotak penalti ketika Reds membenam Crystal Palace - di mana pengadil, Jonathan Moss enggan menganugerahkannya sepakan.

“Semua pemain lain boleh lakukannya dari masa ke semasa dan tiada siapa pun yang bercakap mengenainya,” kata Klopp menjelang perlawanan liga menentang Leicester, awal pagi esok.

“Ada situasi lain yang lebih jelas dan tiada siapapun bercakap mengenainya kerana ia bukannya City, ia bukan United, ia bukan Liverpool, ia juga bukan Arsenal atau Chelsea.”

Klopp mempersoalkan mengapa penyerang Leicester, Jamie Vardy terlepas daripada daripada tindakan selepas dia dilihat sengaja merebahkan badan untuk memenangi penalti ketika perlawanan menentang Southampton, awal bulan ini.

“Ada sesiapa bercakap mengenai Jamie Vardy? Dia melompat,” kata Klopp.

“Adakah Jamie orang yang jahat kerana itu? Saya tidak mengatakan dia seorang yang gemar jatuh, ia adalah situasi yang berbeza.”

 

 

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 2:54pm
d