arena

Selipar tuju pemain Qatar

Oleh Reuters

ABU DHABI: Qatar menundukkan penyokong tempatan yang menimbulkan kontroversi membaling selipar dengan mara ke final Piala Asia buat kali pertama apabila membenam tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0 sekali gus bakal menentukan gelaran terbaik Asia bertemu Jepun di Abu Dhabi, Jumaat ini.

Jaringan awal pembukaan daripada Boualem Khoukhi dan gol kelapan kejohanan dari penyerang Almoez Ali membolehkan Qatar mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum Hassan Al-Haydos dan Hamid Ismail melengkapkan kemenangan pada baki 10 minit permainan.

UAE mempunyai harapan tinggi untuk mara ke final Piala Asia buat kali kedua namun dilihat bakal berdepan hukuman selepas Ali dibaling selipar ketika meraikan jaringannya.

Qatar turut melalui situasi sama ketika dua jaringan terakhir mereka.

"Saya fikir pemain sedar yang ia akan menjadi sukar dengan penonton tetapi saya fikir mereka dapat mengawal emosi secara baik sekali," kata jurulatih Qatar, Felix Sanchez.

"Ia sesuatu yang sukar buat pemain, ia normal untuk meraikan dalam separuh akhir dan saya fikir hanya segelintir yang berkelakuan begitu, yang lain sebaliknya.

"Ia perlawanan yang hebat buat kami... saya sangat bangga dan gembira."

Isu boikot diplomatik serta dagangan terhadap Qatar oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir yang bermula pada tahun 2017 jelas berlaku di stadium dengan lagu kebangsaan pelawat turut tidak dihormati kebanyakan penonton berjumlah 38,646.

Penonton dilihat terdiam pada minit ke-22 ketika Khoukhi berjaya menembusi pertahanan tuan rumah sebelum melakukan rembatan padu ke arah gawang gol yang gagal diselamatkan Khalid Eisa.

Tatkala Eisa seharusnya menafikan gol pertama itu, jelas dia sekali lagi tidak dapat mengawal gawang dengan baik apabila sekali lagi dibolosi selang 15 minit kemudian.

Ali berjaya menembusi tiga pertahanan lawan sebelum merembat masuk untuk terus mendahului carta penjaring terbanyak kejohanan meskipun dicemari balingan selipar oleh segelintir penyokong yang berang.

Kapten pasukan, Haydos menambah gol ketiga sebelum pertahanan UAE diarah keluar padang selepas ulangan pengadil bantuan video (VAR) mendapati muka Salem Al-Hajri di siku sebelum Hamid Ismail menjaringkan gol keempat buat Qatar.

"Saya memohon maaf kepada penyokong atas keputusan ini. Kami sudah cuba yang terbaik," kata jurulatih UAE, Alberto Zaccheroni yang kontraknya bakal berakhir selepas kekalahan itu.

"Kami sentiasa mencuba tetapi pasukan perlu akur yang Qatar adalah lebih baik malam ini."

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 6:21pm
d