arena

Penghormatan beremosi buat Sala

Oleh AFP

NANTES: Nantes memberikan penghormatan penuh emosi terhadap Emiliano Sala di Stade de la Beaujoire, awal pagi tadi sebelum perlawanan pertama sejak bekas penyerangnya itu tidak ditemui dalam insiden kehilangan pesawat di Kepulauan Channel, minggu lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu dalam perjalanan menuju ke kelab baharunya, Cardiff City sebelum pesawat membawanya bersama juruterbang, David Ibbotson gagal dikesan.

Penyiasat British semalam berkata, dua kusyen tempat duduk yang dihanyutkan ke pesisir pantai Perancis berkemungkinan daripada pesawat berkenaan.

Nantes meletakkan gambar Sala di tengah bulatan sepak mula sebelum aksi Ligue 1 menentang  Saint-Etienne manakala bekas rakan sepasukannya memakai baju T yang bertulis “kami sayangkan kamu Emi.”

Peminat turut memaparkan kain rentang sebagai sokongan terhadap Sala dan mengibarkan bendera Argentina di tempat duduk penyokong dengan segelintir peminat mengesat air mata selepas seminit senyap diberikan diikuti dengan tepukan serta jeritan namanya.

Semua pemain Nantes turut bermain dengan jersi memaparkan nama Sala.

Bekas penyerang Nantes, Yacine Bammou yang sebelum ini teman rapat Sala sebelum berhijrah ke Caen menangis di tempat duduk penonton manakala pengurus, Vahid Halilhodzic juga gagal membendung emosinya.

Sala menjaringkan 42 gol dalam 120 penampilannya untuk Nantes sebelum dipancing Cardiff dengan nilai AS$19.3 juta (RM78.94 juta).

Dia melawat bekas rakan sepasukan di Nantes pada 21 Januari lalu untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum menuju ke Cardiff menerusi penerbangan menggunakan pesawat Piper PA-46 Malibu.

Misi pencarian secara rasmi oleh pihak berkuasa ditamatkan pada Khamis lalu tetapi Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain berkata mereka akan memulakan pencarian di dasar laut pada minggu ini bersama dengan penyiasat persendirian.

Ratusan peminat Nantes memasang lilin di ibu negara Perancis, minggu lalu selepas pencarian pertama gagal menemui pemain berkenaan.

“Saya tidak meletakkan begitu banyak harapan. Kini kita perlu berduka dan kemudian bergerak ke depan,” kata seorang penyokong Nantes,  Andree Guittet, 69.

 

 

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 10:51am
d