arena

Qatar tak goyang

Oleh AFP

ABU DHABI: Walaupun Jepun sudah membuktikan reputasi mereka dalam saingan Piala Asia tetapi barisan pemain Qatar percaya nama pasukan itu sudah terukir pada trofi kejohanan berkenaan selepas mencatat rekod cemerlang dalam laluan ke pentas final.

Disebabkan ketegangan politik yang meruncing antara dua negara, pemain Qatar dibaling botol plastik malah kasut oleh penyokong bola sepak tempatan ketika menang 4-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi separuh akhir di Abu Dhabi.

Bagaimanapun, selepas berjaya ‘menyelamatkan’ diri daripada detik malang itu, Qatar yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 jelas tidak gentar menghadapi Jepun dalam aksi final.

“Kami sudah merelisasikan impian seluruh rakyat negara kami. Kami hanya perlu bermain dengan kesabaran tinggi bertemu Jepun.

“Jika kami boleh tunjuk tahap kesabaran tinggi, kami ada peluang cerah untuk muncul juara,” kata penyerang Qatar, Almoez Ali yang menyamai rekod Ali Daei dengan menjaringkan lapan gol dalam saingan Piala Asia ketika bertemu UAE.

Sementara itu, Jepun yang kali terakhir menjulang trofi Piala Asia pada 2011 mara ke final selepas mengejutkan pilihan utama kejohanan, Iran 3-0 dalam aksi separuh akhir dan dilihat berada pada kemuncak prestasi tepat pada masanya.

Skuad The Blue Samurai bakal turun dalam aksi final dengan rekod 11 perlawanan tanpa kalah sejak Hajime Moriyasu mengambil alih tugas selaku jurulatih selepas tamat kempen Piala Dunia tahun lalu.

Moriyasu percaya anak buahnya mempunyai kelebihan untuk muncul juara pada edisi kali.

“Kami bercakap mengenai kami akan pergi berperang sebelum kami tiba di sini. Kami bekerja keras sebagai satu pasukan untuk mencapai tahap ini,” kata kapten Jepun, Maya Yoshida.

Jepun tidak pernah tewas dalam aksi final Piala Asia manakala Qatar mempunyai benteng pertahanan paling kukuh dalam saingan kali ini apabila tidak dibolosi dalam enam perlawanan.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 11:48am
d