arena

'Mungkin salah saya'

Oleh AFP

BOURNEMOUTH: Maurizio Sarri mempersoalkan kebolehan untuk memotivasikan barisan bintangnya di Chelsea selepas The Blues dipalit kekalahan memalukan 0-4 kepada Bournemouth, awal pagi tadi.

Keputusan mengejutkan di Dean Court  itu menghadiahkan Chelsea kekalahan terburuk di Liga Perdana dalam tempoh 22 tahun dan kekalahan kelima dalam 12 perlawanan terakhir liga.

Kekalahan turut menyaksikan Chelsea terkeluar daripada kelompok empat terbaik dan dipintas Arsenal menerusi perbezaan jaringan sekali gus memberi ancaman dalam pemburuan tempat ke saingan Liga Juara-Juara.

Bos Chelsea, Sarri yang secara terbuka mengkritik pemainnya susulan kekalahan kepada Arsenal mengadakan perbincangan panjang dengan pemain selepas meminta staf kejurulatihannya meninggalkan bilik persalinan.

Pengendali dari Itali itu mengakui tidak berasa tertekan tetapi akur perlu bertanggung jawab atas kekalahan berkenaan.

“Ketika ini saya mahu bercakap dengan mereka bersendirian, tanpa orang lain,” katanya. “Saya perlu memahaminya. Adalah mustahil untuk bermain dengan cara yang berbeza pada separuh masa pertama dan kedua.

“Saya tidak memahaminya. Sebenarnya saya tidak tahu. Saya mahu mencuba sekali lagi esok kerana kami mahu menyelesaikan masalah. Saya fikir ya (pemain cukup baik). Mungkin kami tidak berada di puncak Liga Perdana ketika ini, tetapi kami kompetitif.

“Kami tidak boleh kalah dengan keputusan 0-4 kepada Bournemouth. Saya menghormati Bournemouth, tetapi mustahil kami tewas 0-4. Mungkin saya yang bersalah, mungkin saya tidak berupaya memberi mereka motivasi. Tetapi pasukan amat kuat, mereka juga boleh menang tanpa jurulatih.”

Sekali pun baru separuh musim mengendalikan Chelsea, Sarri sudah berdepan begitu banyak persoalan mengenai corak taktikal yang digunakannya dan bekas pengurus Napoli itu sudah mula hilang sabar dengan persembahan tidak konsisten skuad kendaliannya.

“Saya merasa kecewa tetapi tidak tertekan. Saya tidak dapat melihat hasil kerja saya. Jadi saya kecewa,” katanya. “Apabila saya melihat persembahan pada babak pertama, ada kemungkinan untuk menyelesaikan masalah.

“Kami masih memiliki 43 minit untuk bermain, jadi kami boleh menyelesaikannya. Tetapi bukan dengan reaksi seperti itu. Ketika ini, kami boleh bertindak balas dengan baik menentang pasukan besar. 

“Apabila kami bermain menentang pasukan utama, kami kebiasaannya boleh bermain dengan motivasi yang cukup tinggi.”

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 1:19pm
d