arena

MHC pegang janji PSM

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil boleh digunakan untuk Final Siri Hoki selepas kerja-kerja baik pulih akan dilakukan bermula 11 Februari hingga 31 Mac depan.

Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan tarikh serahan kedua-dua padang itu daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kepada MHC.

"PSM berjanji akan menyiapkan kerja-kerja baik pulih sehingga 31 Mac. Justeru, kami yakin bermula awal April kedua-dua padang stadium boleh digunakan untuk sesi latihan terutamanya membabitkan skuad negara.

"Kemudian kita akan menganjurkan Final Siri Hoki dari 26 April sehingga 4 Mei," katanya.

Jelas Shamala, hanya dua padang itu akan digunakan untuk sesi latihan dan perlawanan sebenar tanpa membabitkan stadium lain.

"Setakat ini dua padang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sudah memadai untuk digunakan sebagai sesi latihan kepada semua pasukan yang terbabit," katanya.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, pasukan lain yang turut mengambil bahagian ialah Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China dan Brazil.

Kedua-dua padang itu akan mengambil masa selama enam minggu untuk kerja-kerja baik pulih dengan kos masih di bawah jaminan pembekal.

Kedua-dua padang itu baru saja dinaik taraf sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017  (KL2017).

 

 

 

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 6:21pm
d