arena

Qatar tak jejas isu protes

Oleh Reuters

ABU DHABI: Jurulatih Qatar, Felix Sanchez menegaskan pasukannya tidak terganggu pada aksi ‘terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu’ dengan protes mengenai kelayakan dua pemain terbaik mereka pada Piala Asia 2019.

Akhbar sebelum ini melaporkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempersoalkan kelayakan pemain berusia 22 tahun, Almoez Ali dan pertahanan kelahiran Iraq, Bassam Al Rawi, 21.

Ali yang dilahirkan di Sudan meledak gol kelapan peribadi selepas membantu pasukannya membelasah UAE 4-0 pada separuh akhir manakala Al Rawi digantung dan dijangka akan kembali pada aksi final.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan mereka sudah menerima protes UAE dan menjelaskan ‘ia akan dinilai mengikut peraturan AFC.”

Sanchez bagaimanapun menjelaskan pasukannya meletakkan sepenuh fokus pada aksi final di Stadium Bandar Sukan Zayed, malam esok.

“Kami hanya fokus terhadap aksi esok. Kami tidak mahu memikirkan perkara yang tidak berkaitan dengan bola.

“Saya langsung tidak kisah,” katanya ketika diminta mengulas sama ada protes yang dibuat dapat menjadi motivasi kepada pemainnya.

“Pemain saya tidak memerlukan apa-apa motivasi selain aksi final Piala Asia.”

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain yang mahu menukar kewarganegaraan mesti memiliki kelayakan menerusi ibu bapa atau datuk mereka atau tinggal di negara itu selama lima tahun selepas ulangtahun kelahiran ke-18.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 6:37pm
d