arena

Tanpa Wagner Bayern tetap mantap

Oleh AFP

BERLIN: “Kami masih ada Thomas Mueller dan Serge Gnabry. Kedua-duanya mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Wagner, jika tidak kami pasti tidak akan melepaskannya,” menurut jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac merujuk kepada Sandro Wagner yang dijual kepada kelab Liga Super China, Tianjin Teda kelmarin dengan yuran perpindahan difahamkan bernilai 5 juta euro (RM23.50 juta).

Ketiadaan Wagner menyebabkan Bayern hanya memiliki Robert Lewandowski di bahagian serangan namun Kovac menegaskan tiada masalah buat pasukan itu yang akan berdepan Liverpool dalam aksi pusingan 16  terbaik Liga Juara-Juara bulan ini.

Lewandowski setakat ini sudah menjaringkan 12 gol dalam saingan Bundesliga dan lapan bagi kempen Liga Juara-Juara musim ini.

Kovac menegaskan biarpun tanpa penyerang kedua, ia bukan masalah besar buat skuad bimbingannya itu sekalipun ketika ini mereka ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Borussia Dortmund dan bakal berdepan perlawanan penting menentang Liverpool pada 19 Februari ini.

Kovac berkata dia tidak memikirkan untuk membawa masuk pemain baharu di bahagian serangan ketika pintu perpindahan pemain di Jerman akan ditutup lewat malam ini.

“Kami mempunyai skuad yang mencukupi. Serge boleh bermain sebagai penyerang dan dia melakukan beberapa kali bersama bekas kelabnya, Hoffenheim.

“Thomas pula pemain serba boleh. Saya boleh letakkan dia di mana-mana posisi sekalipun dan dia pasti boleh melakukannya, jadi tidak bimbang,” kata Kovac.

Kovac bagaimanapun berharap Lewandowski kekal berada pada tahap prestasi terbaiknya sehingga hujung musim ini.

“Agak sukar untuk mencari penyerang kedua. Mungkin ada seorang atau dua pemain di dunia yang boleh mengambil tempatnya. Saya harap dia kekalkan prestasinya pada tahap terbaik,.

“Jika dia memerlukan rehat, saya tiada masalah untuk menurunkan Thomas atau Serge,” katanya.

 

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 7:54am
d