arena

Jangan cepat puas hati: Misbun

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tetap risau mengenai perkembangan anak buahnya Lee Zii Jia walaupun pemain itu sekarang berada di ranking nombor satu Malaysia.

Menurutnya, memang beliau mempunyai perancangan khusus buat pemain berusia 21 tahun itu namun tidak menyangka Zii Jia menunjukkan peningkatan mendadak.

“Apa yang membimbangkan saya pemain muda sepertinya cepat berpuas hati. Jadi saya perlu buat agar dia tidak hilang deria rasa untuk terus mempamerkan peningkatan," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Jelasnya, pemain muda yang sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa mudah cepat berpuas hati dan menganggap mereka berjaya mencapai sesuatu.

“Sebenarnya Zii Jia sudah mengadaptasi segala modul, nasihat dan tunjuk ajar yang saya berikan. Setakat ini pemain muda sepertinya sangat patuh dan sentiasa mahu belajar. “Saya terapkan dengan nasihat berkaitan disiplin dan kepayahan untuk menjadi jaguh. Sekarang saya berpuas hati," kata Misbun.

Berdasarkan ranking terkini dunia Zii Jia menghuni ranking ke-28, diikuti pemain profesional Liew Daren 29, manakala jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei ditangga ke-31 selepas masih belum turun dalam mana-mana kejohanan setakat ini.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 12:23pm
d