arena

Diogo tak boleh turun

Oleh Rizar Mohd Noor

PEMAIN import baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo mungkin tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Perak pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa mengesahkan Diogo masih mengalami kecederaan ketika aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, namun pemain itu tampak bersemangat untuk pulih supaya dapat diturunkan pada aksi pertama saingan Liga Super.

Figueroa berkata, peluang Diogo beraksi masih 50-50 dan pemain itu masih menjalani rawatan dan dalam proses pemulihan namun belum pasti sekiranya dia dapat diturunkan pada aksi menentang skuad The Bos Gaurus.

“Diogo masih cedera, dia berusaha untuk pulih dan nampak sifat profesionalnya cuba pulih sebelum perlawanan menentang Perak, kami harap dia bersedia 100 peratus dan jika dia tidak bersedia kami akan merehatkannya.

“Kami tidak mahu ambil risiko untuk menyenaraikan Diogo dalam kesebelasan utama jika dia masih cedera kerana JDT akan berdepan saingan liga yang panjang dan khidmatnya amat diperlukan pada aksi seterusnya.

“Selain Diogo, kami kehilangan Gary Steven Robbat akibat kecederaan dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan namun senario itu tidak merisaukan kerana kami mempunyai ramai pemain yang lengkap dan sedia untuk beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:52pm
d