arena

Qatar lega pemain sah

Oleh AFP

PENJARING gol terbanyak Piala Asia, Almoez Ali dari Qatar dibenarkan beraksi hanya beberapa jam sebelum final menentang Jepun di Abu Dhabi, malam ini.

Almoez dan pertahanan Bassam Al-Rawi didakwa tidak memenuhi peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh tuan rumah Emiriah Arab Bersatu, yang tewas kepada tuan rumah Piala Dunia 2022 itu pada separuh akhir.

“Jawatankuasa disiplin dan etika AFC hari ini menolak protes oleh Persatuan Bolasepak UAE mengenai kelayakan dua pemain Qatar,” menurut AFC dalam satu kenyataan.

Tiada butiran diberikan mengenai alasan mereka menolak protes itu. Almoez, 22, yang menyamai rekod kejohanan dengan lapan gol, dilahirkan di Sudan manakala Bassam, 21, dilahirkan di Iraq.

UAE membuat protes selepas tuan rumah dibelasah 4-0 oleh Qatar, musuh tradisi mereka pada separuh akhir yang menyaksikan pemenang dihujani dengan balingan selipar dan botol plastik minuman.

Menurut kod disiplin dan etika AFC, pasukan yang menurunkan pemain tidak sah boleh dibatalkan keputusan perlawanan itu dan dikenakan hukuman denda.

Almoez bermain dalam semua enam perlawanan Qatar dalam laluan ke final sulung mereka pada Piala Asia, menyamai rekod dipegang pemain legenda Iran, Ali Daei dengan lapan gol setakat ini.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 10:46pm
d