arena

Buku temu ruas Piala Raja Sepanyol

BARCELONA: Barcelona dan Real Madrid bertembung pada separuh akhir Piala Raja Sepanyol hasil undian hari ini dengan Real Betis menentang Valencia pada satu lagi aksi.

Undian itu bermakna dua kelab terbesar Sepanyol akan bertemu sesama sendiri tiga kali dalam tempoh empat minggu dengan Madrid menanti kunjungan Barca bagi aksi La Liga pada 2 Mac depan.

Pemenang 32 kali Barcelona, yang layak ke separuh akhir empat edisi terakhir pertandingan itu, menjadi hos kepada Real bagi aksi pertama pada 6 Februari depan dengan aksi kedua pada 27 Februari di Santiago Bernabeu.

Betis akan bermain di laman sendiri menentang Valencia pada separuh akhir pertama dan berkunjung ke Mestalla pada aksi kedua, dengan kedua-dua aksi dilangsungkan pada hari sama.

Final akan diadakan di gelanggang Betis, Stadium Benito Villamarin di Seville pada 25 Mei depan.

Barca mengatasi defisit 0-2 pada suku akhir pertama menentang Sevilla, membelasah kelab Andalusia itu 6-1 pada aksi timbal balik untuk layak 6-3 secara agregat.

Real Madrid melangkah lebih selesa ke separuh akhir, mengalahkan Girona 4-2 di laman sendiri sebelum menang 3-1 di laman lawan dan menang 7-3 secara agregat. - Reuters

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 11:07pm
d