arena

Mujur ada Malik!!!

Oleh Malik Muhamad

MALIK Mat Ariff menyelamatkan maruah Terengganu FC apabila golnya seminit sebelum tamat membantu tuan rumah seri 1-1 dengan PKNS FC pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Bagaimanapun aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu agak ‘panas’ pada lewat babak kedua apabila insiden tolak menolak berlaku susulan tindakan pemain import PKNS, Chan Vathanaka mengasari Khairu Azrin Khazali.

Kekecohan itu turut memaksa ketua jurulatih PKNS, Datuk K Rajagobal memasuki padang sebelum dileraikan beberapa pegawai pasukan termasuk pegawai perlawanan.

Sekalipun tuan rumah kerap mengasak kubu PKNS, pelawat yang mendapat sepakan sudut pada minit ke-65 berjaya memperoleh jaringan menerusi tandukan menarik Nicholas Ryan Swirad untuk pasukannya mendahului 1-0.

Namun ketika perlawanan kelihatan mampu dimenangi pelawat, TFC yang juga naib juara Piala Malaysia musim lalu bangkit menyamakan kedudukan.

Menerusi satu sepakan percuma, kapten TFC Kipre Tchetche menanduk ke arah gol dan disambut Malik di sebelah kanan kotak penalti sebelum meloloskan diri untuk merembat masuk melepasi jangkauan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin.

TFC turun tanpa tonggak utama Lee Tuck yang digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 11:36pm
d