arena

The Blues buat Sarri tak lena tidur  

Oleh AFP

LONDON: “Selepas perlawanan itu, sukar untuk saya tidur. Saya fikir saya hanya tidur enam atau tujuh jam sejak dua hari lalu,” kata jurulatih Chelsea Maurizio Sarri ketika ditanya sama ada dia tidur lena selepas perlawanan menentang Bournemouth.

Beliau mengakui mimpi ngeri Chelsea membuatkan dia sukar tidur tetapi pengurus The Blues itu menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan.

Sarri sukar mendapat rehat sejak kekalahan memalukan 0-4 di tangan Bournemouth, Rabu lalu apabila beliau bekerja sehingga lewat tengah malam bagi mencari jawapan terhadap masalah dialami skuad kendaliannya.

Pengendali dari Itali itu berkata, dia membuat analisis video bagi mengenal pasti punca masalah yang menyaksikan dia hanya tidur beberapa jam sahaja pada dua hari berikutnya.

“Saya tidak berapa sihat tetapi saya cuba. Ia bukan mudah untuk tidur selepas perlawanan itu (menentang Bournemouth).”

Selepas mengalami kekalahan terburuk dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak 1996 itu, Chelsea akan berdepan kelab yang bergelut, Huddersfield, malam ini.

The Blues perlu menunjukkan prestasi dan menghasilkan keputusan positif bagi menceriakan kembali penyokong di Stamford Bridge.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 9:57am
d