arena

City tak boleh tewas lagi

Oleh AFP

MANCHESTER: Manchester City perlu bangkit pada pertembungan dengan Arsenal, awal pagi Isnin ini bagi membuktikan mereka masih kekal sebagai pencabar utama dalam merebut gelaran Liga Perdana Inggeris.

Skuad bimbingan Pep Guardiola seharusnya lega apabila hanya dipisahkan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool menjelang pertembungan di Stadium Etihad.

City dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan pasukan bergelut dengan zon penyingkiran, Newcastle United, Selasa lalu tetapi Liverpool yang dibimbing Jurgen Klopp turut bergelut apabila sekadar seri 1-1 dengan Leicester City sehari kemudian.

Anak buah Guardiola mungkin boleh memberi alasan kekalahan itu adalah yang pertama selepas menang lapan perlawanan sebelum itu tetapi tiga daripadanya dicatat dalam saingan piala menentang pasukan divisyen bawahan.

Lebih membimbangkan, City tewas empat daripada sembilan perlawanan liga dan tiga daripada kekalahan itu hadir ketika berdepan pasukan pertengahan dan bawahan liga.

Di St James Park, City gagal mengekalkan fokus mereka biarpun mendahului menerusi jaringan Sergio Aguero tetapi selepas itu dibolosi dua gol.

City ketika ini dilihat berdepan krisis konsistensi dalam kalangan pemainnya termasuk Kevin de Bruyne yang masih gagal beraksi pada tahap terbaik biarpun dipilih sebagai pemain terbaik kelab musim lalu.

Guardiola memerlukan De Bruyne beraksi pada tahap terbaiknya bagi menghidupkan peluang mengejar Liverpool di tangga teratas liga.

“Jika kami tidak bermotivasi, kami tidak akan berada di mana kami berada sekarang yang mana kami masih bersaing dalam semua kejohanan.

“Kami mara ke final Piala Liga, masih beraksi dalam Liga Juara-Juara dan kami masih menjadi pencabar kejuaraan liga.

“Semua orang mengatakan pasukan ini cukup sempurna sebelum ini. Namun, jawapan saya tetap sama iaitu setiap perlawanan ada cabaran tersendiri.

“Ada turun dan naik sepanjang musim. Pemain tidak boleh mengekalkan tahap prestasi yang sama untuk tempoh 11 bulan,” kata Guardiola.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 11:37am
d