arena

Almoez Ali 'superstar' baru Asia [VIDEO]

Oleh Agensi

NAMA Almoez Ali mula meniti di bibir peminat serta pasukan bolasepak Asia selepas membantu Qatar juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 menewaskan juara empat kali, Jepun.

Penyerang kelahiran Sudan berusia 22 tahun itu menjaringkan gol pertama sepakan ‘bicycle kick’ menentang Jepun untuk memahat nama penjaring terbanyak meledak 9 gol dalam tujuh perlawanan di kejohanan itu.

Almoez Ali atau Almoez Ali Zainalabiddin Abdullah, memiliki ketinggian 185sm dan menyarung jersi 19.

Almoez yang dilahirkan di Khartoum, Sudan berpindah ke Qatar pada zaman kanak-kanak.

Dia mula bermain untuk Al-Mesaimeer pada umur 7 tahun sebelum menyertai Akademi Aspire dan beraksi selaku pemain remaja di Lekhwiya SC.

Dia juga menjadi sebahagian daripada pemain membentuk pasukan kelab Belgium Eupen pada 2015.

Almoez, penyerang kelab Al Duhail dalam Liga Bintang Qatar, dipilih menyertai skuad Qatar pada Piala AFC Asia 2019.

Dia meledak jaringan pertama pada saingan peringkat kumpulan menentang Lubnan.

Pada perlawanan menentang Korea Utara selepas itu, dia menyumbat empat gol dalam tempoh 51 minit dan kedua terpantas berbanding empat gol dalam masa 23 minit dilakukan penyerang Iran, Ali Daei ketika menentang Korea Selatan pada AFC Asia 1996.

Pencapaian penjaring terbanyak Almoez pada AFC 2019 turut mengatasi rekod jaringan Ali Daei pada edisi 1996.

Lebih manis, status juara Asia diraih Qatar mengukuhkan keyakinan mereka selaku tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.

Apapun, Qatar cemas seketika selepas tuan rumah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membuat protes mengenai kelayakannya bermain untuk Qatar.

Usaha mereka bagaimanapun ditolak oleh AFC beberapa jam sebelum sepak mula kejohanan.

Qatar menewaskan Samurai Blue 3-1.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 5:44pm
d