arena

Yusri minta diberi masa

Oleh Syazwan Msar

PENGENDALI Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mengakui kemelut dalaman pasukan itu menjejaskan prestasi pemain sekali gus menjurus kepada kekalahan 1-3 di tangan Pahang pada aksi Liga Super, malam tadi.

Justeru beliau meminta supaya diberi masa bagi membaiki kelemahan pasukan yang menyaksikan mereka tidak terdaya menyaingi bekas juara liga itu.

“Saya tak mahu berselindung dan lebih baik menyatakan perkara ini kerana jika masalah tidak selesai pasti berlaku kekacauan dalam pasukan hingga mengganggu perancangan.

“Saya harap pihak pengurusan boleh selesaikan masalah yang berbangkit bagi memastikan Kuala Lumpur lebih bagus dan mampu bersaing,” katanya.

Yusri menegaskan beliau tidak mahu masalah dalaman pasukan itu menjejaskan mental pemain bagi mengharungi perlawanan akan datang.

Kuala Lumpur sebelum ini dilanda isu pembayaran gaji apabila dilaporkan tidak menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Kesannya pemain mereka, Syazwan Andik membuat keputusan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Pemain beraksi dengan baik cuma kurang keserasian berbanding Pahang dengan rata-rata dibarisi pemain lama dan sudah ada keselesaan bersama.

“Cuma beri masa kepada saya untuk menperbaiki kelemahan dan memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi perlawanan akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2019 @ 9:07pm
d