arena

Shakir, Bauman lonjak Kedah

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

SHAKIR Hamzah dan Jonatan Bauman menceriakan penyokong Kedah apabila membantu Helang Merah mengatasi PKNP FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam ini.

Shakir membuka tirai jaringan pada minit ke-66 manakala import baru dari Argentina, Bauman melengkapkan kemenangan empat minit sebelum tamat bagi memastikan tiga mata pada aksi pertama musim ini.

Beraksi di gelanggang baru, PKNP lebih banyak menahan asakan pelawat hingga empat kad kuning dilayangkan kepada pemain tuan rumah.

Shakir mengejutkan tuan rumah apabila menguis masuk susulan keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti lawan selepas sepakan sudut kapten Baddrol Bakhtiar singgah di kaki Fadzrul Danel Nizam.

Pelawat mengukuhkan kedudukan pada minit ke-86 apabila Bauman membuat larian solo dari sebelah sayap kiri sebelum merembat masuk ke sudut kanan gawang tuan rumah.

Peluang terbaik PKNP hadir pada minit ke-18 apabila sepakan sudut kapten Hafiz Ramadan menemui Siyovush Asrorov, namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 12:02am
d