arena

Aidil puas Kedah bawa balik tiga mata

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PASUKAN Kedah berpuas hati dapat membawa balik tiga mata pertama dalam perlawanan pembukaan Liga Super biar pun tidak mempamerkan persembahan terbaik mereka semalam.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, pertembungan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bukan mudah kerana pasukan itu dikenali dengan barisan pemain yang cergas.

"Alhamdulillah, saya akui ini bukan aksi terbaik Kedah tetapi paling penting kami dapat tiga mata pertama. Semua pasukan akan ada sedikit gementar pada perlawanan pertama," katanya.

Beliau memuji persembahan anak didiknya yang tidak cepat berpuas hati dan mengubah corak permainan kepada bertahan selepas mendahului satu gol sebaliknya terus berjuang dalam 90 minit perlawanan.

Aidil Sharin juga mengakui barisan pemain yang beraksi semalam belum pasti kekal tersenarai dalam kesebelasan utama kerana beliau mahu mewujudkan persaingan sihat sesama pemain.

"Tiada kesebelasan utama dalam pasukan, jika ada pemain simpanan berusaha keras, dia akan mendapat tempat dalam skuad. Kita mahu pemain tahun ini bersaing untuk mendapat tempat," katanya.

Beliau turut menghargai sokongan ditunjukkan penyokong Kedah yang hadir beramai-ramai ke Stadium MPM sehingga hampir menenggelamkan kelibat penyokong pasukan tuan rumah.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 10:49am
d