arena

'Kami patut dapat penalti': Abu Bakar

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

"JIKA ada VAR (video bantuan pengadil), mungkin bola yang melantun kena tangan pemain Kedah, penyokong semua boleh lihat, cuma kita dinafikan (peluang mengubah keputusan perlawanan)."

Itu rungutan pengendali Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim yang terkilan dengan beberapa keputusan pengadil selepas pasukan tuan rumah tumpas 0-2 di tangan Kedah semalam.

Beliau merujuk kepada aksi minit ke-78 ketika keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti lawan menyaksikan rembatan Yashir Pinto dikatakan terkena tangan pemain Kedah.

Pemain PKNP nyata tidak berpuas hati apabila tidak mendapat sepakan penalti sehingga mengerumuni pembantu pengadil manakala penyerang tuan rumah, Mohd Hafiz Kamal dilayangkan kad kuning kerana membantah pengadil perlawanan.

Justeru, beliau akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat sehingga merencatkan semangat anak didiknya.

"Kekalahan saya boleh terima, ia sebahagian rencam dalam bola sepak. Cuma kami bermain di tempat sendiri dan dinafikan peluang dengan beberapa keputusan pengadil yang meragukan,” katanya.

Abu Bakar berkata, jika PKNP FC mendapat peluang penalti ketika Kedah mendahului 1-0, mungkin keputusan perlawanan boleh berubah kerana mana-mana pasukan mengetahui satu jaringan bukan kedudukan yang selamat.

Mengenai perlawanan itu, beliau berkata secara keseluruhan berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan pemain PKNP FC terutama melayan Kedah yang memiliki ramai pemain berkualiti termasuk tiga penyerang importnya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 11:43am
d