arena

Peluang UniKL makin cerah

Oleh Saiful Affendy Sapran

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) semakin menghampiri kejuaraan Liga Hoki Malaysia selepas menundukkan juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, hari ini.

Tidak hairan kapten UniKL, Izwan Firdaus Tajuddin percaya mereka mampu menjulang piala itu musim ini sekalipun sedar perlu fokus bagi baki aksi selepas ini.

“Tempo perlawanan hari ini amat pantas dan memenatkan. Pasukan yang ambil peluang dengan baik keluar sebagai pemenang.

“Kami memang cuba untuk memanfaatkan semua peluang dengan sebaik-baiknnya.

“Apa pun kemenangan hari ini cukup penting. Kami akan pastikan kejuaraan liga musim ini milik UniKL,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan, UniKL menduduki tangga teratas liga dengan 19 mata diikuti TNB (18) manakala THT ketiga (13).

UniKL mendapat gol menerusi Robbert Kemperman (m-8), Hafiz Zainol (m-49) dan Izwan (m-54) manakala skuad bimbingan I Vikneswaran membalas menerusi sudut penalti import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun (m-48).

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 8:29pm
d