arena

Buffon seronok di Paris

Oleh AFP

PENJAGA gol Gianluigi Buffon menyatakan dia mahu “kekal semusim lagi” di Paris Saint-Germain.

Pemain berusia 41 tahun itu, yang beraksi 176 kali bersama Itali dan memenangi Piala Dunia 2006, tiba sebagai ejen bebas dari Juventus pada musim panas lalu dengan kontrak setahun dan pilihan bagi tahun kedua.

Di PSG, dia berkongsi tugas mengawal pintu gol dengan Alphonse Areola, pemain skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia pada musim panas lalu.

“Jika Alphonse dan kelab mahukan, saya suka untuk kekal semusim lagi di sini, tapi ketika ini penting untuk kekal fokus dengan objektif, perlawanan di Lyon, kemudian Bordeaux dan selepas itu Manchester,” kata Buffon.

Pendahulu Ligue 1, PSG bertandang ke pasukan tangga ketiga Lyon hari ini dan kemudian menentang Manchester United pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada 12 Februari dan 6 Mac depan.

“Mengenai kontrak saya musim depan, kami masih ada banyak masa untuk memikirkan mengenainya,” kata Buffon pada satu sidang akhbar bersama Areola, semalam.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 9:23pm
d