arena

Hazard yakin Higuain boleh

Oleh Reuters

PERANCANG utama Chelsea, Eden Hazard menganggap pemain baru Gonzalo Higuain sebagai “terlalu mengagumkan” dalam kotak penalti selepas pemain kebangsaan Argentina itu meledak dua gol ketika membelasah kelab tercorot Liga Perdana Inggeris, Huddersfield Town 5-0 semalam.

Chelsea mengikat Higuain bulan lalu dan bangkit daripada kekecewaan kalah 0-4 di Bournemouth pada pertengahan minggu dengan persembahan memukau menentang Town, dengan Hazard dan Higuain masing-masing menyumbang dua gol.

“Kami amat memerlukannya,” kata Hazard, pemain kebangsaan Belgium kepada saluran TV Chelsea. “Kami bertindak baik, terlalu gembira dengan keputusan ini, cara kami bermain hari ini, terutama selepas aksi Rabu lalu.

“Sukar tapi saya fikir pengurus mahukan kami bertindak balas dan kami melakukannya.”

Higuain beraksi di bawah kendalian pengurus Chelsea, Maurizio Sarri di Napoli, menjaringkan 38 gol pada musim terakhir mereka bersama di kelab Itali itu pada 2015-16.

Hazard menyatakan dia mendapat faedah daripada latihan bersama Higuain sejak 10 hari lalu dan menyokong rakan sepasukan barunya untuk berjaya di England.

“Kami meningkat bersama,” katanya. “Kami sudah berlatih bersama selama 10 hari. Dia seorang penyerang hebat... dia boleh memegang bola, boleh bermain satu sentuhan, dia bijak. Dalam kotak penalti dia amat mengagumkan, jadi dia boleh menyumbat banyak gol.”

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 10:25pm
d