arena

Jaringan Rashford julang United

Oleh AFP

MANCHESTER United semakin hampir dalam usaha menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas apabila gol tunggal Marcus Rashford membantu kemenangan 1-0 ke atas Leicester City sebentar tadi untuk melonjak ke tangga kelima.

Rashford menyambut lorongan cantik Paul Pogba sebelum merembat kencang gol keenamnya sepanjang 10 perlawanan kendalian Ole Gunnar Solskjaer selepas hanya sembilan minit di Stadium King Power.

Keputusan seri 2-2 di laman sendiri dengan Burnley pada pertengahan minggu satu-satunya perlawanan yang gagal dimenangi anak buah Solskjaer dan satu lagi kemenangan melonjakkan United satu mata di atas Arsenal dan dua mata di belakang pasukan tangga keempat Chelsea dalam perebutan ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, seperti situasi sebelum ini di gelanggang lawan, United bergantung harap kepada penjaga gol David de Gea yang membantu usaha mengutip tiga mata ketika Leicester yang sering mencetus masalah kepada pasukan enam teratas musim ini bertindak lebih baik selepas rehat.

Dua kali penjaga gol Sepanyol itu menafikan penyerang England, Jamie Vardy namun De Gea pasti diingati kerana jangkaannya yang tepat susulan sepakan percuma Rachid Ghezzal yang dilencongkan ke arah penjuru atas gol.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 12:30am
d