arena

Pesawat Sala ditemui

Oleh AFP

LONDON: Pesawat yang membawa pemain bola sepak Argentina Emiliano Sala dan juruterbangnya yang dilaporkan hilang, kini sudah ditemui, demikian menurut penyiasat hari ini.

“Saya boleh mengesahkan bahawa ia sudah ditemui,” kata jurucakap Cawangan Siasatan Nahas Udara Britain (AAIB).

Katanya, AAIB akan mengeluarkan kenyataan keesokan harinya.

Sala terbang dari Perancis untuk menyertai kelab baharunya, iaitu kelab Liga Perdana Inggeris Cardiff City dengan menaiki pesawat ringan pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang di Selat Inggeris.

Serpihan pesawat itu dilaporkan ditemui di pesisir pantai Normandy, Perancis Rabu lalu.

Sala menaiki pesawat Piper PA-46 Malibu selepas dijual kelab Perancis Nantes dengan nilai 17 juta euro (RM79.8 juta).

Ia hilang dari radar sekitar 20 kilometer di utara Guernsey, dengan juruterbang Dave Ibbotson turut berada di dalam pesawat itu.

David Mearns, pemilik syarikat persendirian, Blue Water Recoveries, yang diupah keluarga Sala untuk mencari pesawat itu, menerusi Twitter berkata bangkai pesawat itu ditemui semalam.

“Terdapat sejumlah serpihan berada di dasar laut,” katanya dan menambah: “Ini adalah keputusan terbaik yang dapat kami berikan kepada keluarga setakat ini.”

Pemain bola sepak ternama adalah antara 4,500 penyumbang kepada tabung rayuan yang berjaya mengutip lebih daripada 300,000 euro (RM1.4 juta) untuk mencari bangkai pesawat itu.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:29am
d