arena

Lyon robek rekod PSG

Oleh AFP

PARIS: Moussa Dembele meledak gol dan meraih penalti tatkala Lyon mengejutkan Paris Saint-Germain 2-1 awal pagi tadi untuk menamatkan rentetan aksi tanpa kalah mereka dalam kempen Ligue 1 musim ini.

Angel Di Maria meletakkan PSG di depan pada minit ketujuh namun Dembele menyamakan kedudukan dan Nabil Fekir menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti, tiga minit selepas separuh masa kedua.

Juara bertahan itu bagaimanapun kekal 10 mata di depan Lille di tangga kedua biarpun tewas, dengan kelebihan dua perlawanan manakala Lyon mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga, tiga mata di belakang Lille.

Tumpuan kini terarah kepada aksi PSG di Liga Juara-Juara di mana mereka akan berdepan pasukan divisyen ketiga Villefranche dalam aksi Piala Perancis dan menanti kunjungan Bordeaux sebelum pertembungan pertama 16 pasukan terakhir menentang Manchester United di Old Trafford pada 12 Februari.

Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer dan penolongnya Mike Phelan kedua-duanya berada di Stadium Groupama awal pagi tadi, beberapa jam selepas kemenangan ke atas Leicester 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Pasti banyak yang dipelajari kedua-duanya dengan menyaksikan Lyon sentiasa merobek pertahanan PSG tanpa banyak masalah, manakala Kylian Mbappe terbeban dengan tugas penyerang sepanjang ketiadaan Neymar yang cedera.

“Kami lakukan apa yang dirancang, antaranya memberi tekanan, transisi pantas dan mencetuskan masalah buat mereka setiap kali kami mendapat bola,” kata pengendali Lyon, Bruno Genesio.

"Saya tidak fikir mereka membiasakan diri dengannya dalam Ligue 1.”

Di atas kertas, kelihatannya ia satu-satunya ujian sukar buat PSG dalam misi melepasi musim ini tanpa kalah, selepas menang hanya dua daripada 13 kunjungan ke Lyon dalam aksi Ligue 1 dan tewas tujuh perlawanan.

Namun anak buah Thomas Tuchel hampir berada di depan seawal minit kedua apabila Kylian Mbappe meluru pantas namun rembatannya mudah diselamatkan penjaga gol Lyon Anthony Lopes.

Pasukan pelawat bagaimanapun tidak membuang masa meledak jaringan apabila kecuaian Houssem Aouar membolehkan Julian Draxler, menguasai bola dan melorongkannya kepada Di Maria untuk gol kesepuluhnya musim ini.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 10:48am
d