arena

Bapa anggap mimpi buruk

Oleh AFP

Buenos Aires: Bapa bintang Argentina Emiliano Sala terkejut daripada lena, hanya untuk mengetahui bahawa pesawat yang membawa anaknya sudah pun ditemui.

“Sukar untuk saya percaya. Ia mimpi yang buruk,” kata Horacio Sala ketika dihubungi Cronica TV di rumahnya di Progreso.

Beliau satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal di Argentina ketika yang lain bergegas ke Nantes, Perancis untuk membantu dalam pencarian itu.

“Saya bercakap dengan mereka setiap hari. Namun memandangkan saya tidak mempunyai WhatsApp, untuk menghubungi mereka agak mahal begitu juga sebaliknya.

“Namun mereka terus berkata selepas beberapa hari masih belum ada berita mengenai Emiliano atau pesawat itu,” katanya.

Sala terbang dari Perancis untuk menyertai kelab baharunya, iaitu kelab Liga Perdana Inggeris Cardiff City dengan menaiki pesawat ringan pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang di Selat Inggeris.

Serpihan pesawat itu dilaporkan ditemui di pesisir pantai Normandy, Perancis Rabu lalu.

Sala menaiki pesawat Piper PA-46 Malibu selepas dijual kelab Perancis Nantes dengan nilai 17 juta euro (RM79.8 juta).

Ia hilang dari radar sekitar 20 kilometer di utara Guernsey, dengan juruterbang Dave Ibbotson turut berada di dalam pesawat itu.

David Mearns, pemilik syarikat persendirian, Blue Water Recoveries, yang diupah keluarga Sala untuk mencari pesawat itu, menerusi Twitter berkata bangkai pesawat itu ditemui semalam.

“Terdapat sejumlah serpihan berada di dasar laut,” katanya dan menambah: “Ini adalah keputusan terbaik yang dapat kami berikan kepada keluarga setakat ini.”

Pemain bola sepak ternama adalah antara 4,500 penyumbang kepada tabung rayuan yang berjaya mengutip lebih daripada 300,000 euro (RM1.4 juta) untuk mencari bangkai pesawat itu.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 11:51am
d