arena

'Mereka hanya beri pendapat'

Oleh Saiful Affendy Sapran

LIGA Hoki Malaysia (LHM) mungkin ‘tutup kedai’ seperti yang diperkatakan dua personaliti hoki negara adalah satu realiti sebenar, kata bekas penyerang kebangsaan Rodhanizam Mat Radzi.

Rodhanizam bagaimanapun berharap Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil kira pandangan Arul Selvaraj dan Jiwa Mohan walaupun mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin badan induk itu kerana dituduh memberi kenyataan berunsur kritikan.

“Jika ikut kepada peraturan memang mereka tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan mengkritik sebab setiap pemain dan pegawai sudah menandatangani perjanjian kod dan etika yang ditetapkan.

“Bagi saya apa yang mereka katakan itu bukanlah hendak menghentam MHC tapi lebih kepada memberi pendapat.

“MHC perlu melakukan sesuatu untuk saingan liga kita. Jika tidak situasi akan bertambah buruk dan penaja mungkin tidak berminat untuk menaja liga serta skuad kebangsaan,” katanya.

Jelas Rodzhanizam bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh ketua jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan pemain Nur Insafi itu.

Arul dan Jiwa dirujuk kepada Lembaga Disiplin MHC, Sabtu ini dan mungkin bakal berdepan hukuman penggantungan.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 6:39pm
d