arena

Liverpool seri lagi, Klopp kekal tenang

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp cuba untuk mengelak persoalan mengenai kemampuan pendahulu Liga Perdana itu berdepan tekanan apabila mereka sekali lagi mencicirkan mata dalam pemburuan gelaran selepas seri 1-1 berdepan West Ham, awal pagi tadi.

Keputusan itu membuatkan Liverpool berada hanya tiga mata di depan pasukan tangga kedua, Manchester City kurang daripada seminggu selepas mereka terlepas peluang menjarakkan diri kepada tujuh mata.

Ia perlawanan kedua berturut-turut Liverpool mencicirkan mata selepas seri 1-1 di laman sendiri bertemu Leicester.

Skuad kendalian Pep Guardiola, City kini boleh mengambil alih tempat pertama dengan kemenangan di Everton awal pagi Khamis ini.

"Mungkin semua laporan sudah ditulis tanpa saya berkata apa-apa," kata Klopp kepada BBC.

"Saya tidak melihat apa-apa mengenai tekanan yang anda boleh tanya dalam beberapa soalan selepas ini," kata pengendali dari Jerman itu yang tampak boleh menjadi pengurus Liverpool pertama dalam 29 tahun menang gelaran di England.

Sadio Mane memberikan gol pendahuluan buat Liverpool pada minit ke-22 di Stadium London walaupun skuad Hammers mendakwa James Milner berada dalam posisi ofsaid.

Namun skuad Manuel Pellegrini menyamakan kedudukan enam minit kemudian apabila sepakan percuma mengelirukan Liverpool dan Michail Antonio meledak melepasi Alisson.

"Ia perlawanan yang sukar," kata Klopp. "Anda melihat keadaan bola mati, kami tahu mengenai rutin itu tetapi bila kami berlatih, ada tiga lagi pemain dalam pasukan.

"Malangnya gol kami ofsaid dan mungkin pengadil sedar pada babak kedua. Ia satu mata dan ia adil.”

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 7:26am
d