arena

Kompany mahu bawa City raih 4 trofi

Oleh AFP

MANCHESTER: Kapten Manchester City, Vincent Kompany dijangka akan memainkan peranan bagi mencapai impian kelab untuk memburu empat trofi musim ini meskipun dibelenggu kecederaan.

Kompany direhatkan sejak bulan lalu dengan kelab melabelkan dia mengalami masalah 'otot'.

Tiada tarikh dapat dijangkakan untuk pemain kebangsaan Belgium berusia 32 tahun itu kembali pulih namun Kompany berkata, pengalaman daripada kecederaan lalu sedikit sebanyak memberi pengajaran untuk kembali beraksi secepat mungkin.

"Sebagai manusia dan atlet saya berasa hebat tetapi saya perlu mengatasi ketidakselesaan sejak bertahun-tahun lalu," kata Kompany.

"Saya akan cuba mengatasinya seperti yang sering dilakukan dan kemudian, kita akan kembali beraksi."

Tambahnya: "Saya bukannya seorang lelaki yang mampu memberi kamu tempoh masa pada ketika ini tetapi kunci utamanya, saya mempunyai perancangan untuk bagaimana pulih daripada kecederaan ini. Saya akan mengikutinya dan kamu akan lihat yang saya akan kembali kuat seperti sedia kala."

City yang juga juara bertahan Liga Perdana Inggeris sedang gigih memberi tentangan sengit kepada Liverpool yang kini mendahului Liga Perdana biarpun terbabit dengan tiga lagi kejohanan lain.

Mereka dijadual bertemu Chelsea di final Piala Liga bulan ini, Newport atau Middlesbrough dalam pusingan kelima Piala FA dan Schalke untuk aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara.

"Saya mahu memainkan peranan saya bagi memastikan semua orang dapat menyedarinya dan melakukan perkara yang betul. Masih banyak perkara harus dilihat," kata Kompany.

Kompany membantu City memenangi tiga gelaran Liga Perdana sejak tiba di Stadium Etihad pada 2008, namun kontraknya ketika ini dijadual tamat pada tahun ini.

"Tiada siapa membuat keputusan tergesa-gesa," kata Kompany. "Kami mempunyai jadual permainan yang menanti... empat trofi masih boleh direbut dan kontrak masih wujud.

"Itu perkara utama. Tidak ada keperluan untuk lihat terlalu jauh ke depan. Semua orang harus bertenang," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 10:48am
d