arena

City perlu rebut peluang

Oleh Reuters

LONDON: Harapan Manchester City untuk terus kekal dalam buruan juara Liga Perdana bergantung kepada bagaimana juara bertahan itu mengharungi cabaran lima hari selepas ini apabila menentang Everton dan Chelsea, menurut pemain tengah Bernardo Silva.

City kini memiliki 59 mata daripada 25 perlawanan dan ketinggalan hanya tiga mata di belakang pendahulu Liverpool yang seri 1-1 di West Ham awal pagi tadi.

Silva menegaskan City perlu mengambil peluang sebaiknya apabila menentang Everton pada awal pagi Khamis.

Skuad Pep Guardiola bakal menghuni tangga teratas buat kali pertama sejak awal Disember dengan kemenangan di Goodison Park dan melayan kunjungan Chelsea pada Ahad ini.

"Kami mempunyai dua perlawanan sukar menentang Everton dan Chelsea dan perlu menang kedua-duanya. Jika gagal pasti sukar untuk kami memburu trofi liga,” kata Silva.

City bangkit menewaskan Arsenal 3-1 kelmarin selepas dikejutkan Newcastle minggu lalu tetapi menurut Silva masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki.

"Kami tahu kami perlu perbaiki prestasi, ada kalanya kami tidak beraksi dengan sepatutnya dan kami perlu atasinya dengan mencari kesilapan,” kata pemain Portugal itu.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 12:27pm
d