arena

Pemain Perlis tuntut janji

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kemelut yang melanda kem Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) semakin parah apabila beberapa bintang pasukan itu mula berkira-kira mahu ‘angkat kaki’ apabila pihak pengurusan mungkir janji untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang sepatutnya dibayar kelmarin.

Antara pemain yang sudah mencongak untuk ‘cabut’ daripada pasukan berkenaan adalah bekas pemain Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya apabila PFA tidak membayar gajinya dua bulan sekali gus menyebabkan beliau mungkin mengambil keputusan meninggal pasukan Singa Utara itu.

Bekas jeneral padang The Red Warriors (TRW) itu memaklumkan sepatutnya semua tunggakan gaji dibayar sebelum kelmarin namun sehingga kini masalah berkenaan masih belum selesai.

“Saya sekarang ini berada di Kota Bharu, Kelantan, untuk menjalani rawatan dan tidak mengetahui perkembangan terkini pasukan terutama berkaitan masalah tunggakan gaji.

“Namun, ada kemungkinan saya juga akan ‘angkat kaki’ seperti beberapa pemain lain apabila pihak pengurusan mungkir janji untuk menyelesaikan gaji tertunggak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, di sini.

Piya yang juga antara tunjang utama Kelantan meraih kejuaraan treble musim 2012 mengakui kemelut yang melanda itu menjejaskan momentum dan fokus pemain untuk mengharungi perlawanan liga.

“Kami sekarang ini bermain hanya kerana peminat selain demi jurulatih yang sentiasa memberikan semangat walaupun mengetahui masalah yang melanda PFA,” katanya.

Menurut sumber dalaman skuad Singa Utara, antara nama lain yang berkemungkinan akan meninggalkan pasukan terbabit adalah bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Safee Sali dan juga beberapa pemain senior yang sudah muak dengan ‘janji manis’ pengurusan kelab berkenaan.

Sementara itu, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pihak pengurusan masih lagi berusaha menyelesaikan isu gaji yang melanda kem Singa Utara dalam masa terdekat.

Azimal juga menafikan dakwaan setengah pihak bahawa pemain tidak lagi mahu bermain jika pasukan terus dihimpit isu pembayaran gaji.

“Orang luar boleh bercakap apa yang mereka mahu tapi dalam pasukan kita sangat harmoni dan tidak berlaku perkara yang digambarkan itu.

“Saya berharap penyokong memberi ruang kepada Perlis dan pengaruh negatif boleh memberi kesan kepada pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 2:56pm
d