arena

Regu Young Turtles bertaraf dunia

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Tiga pengendali berpengalaman termasuk bekas regu emas negara, Mohd Futra Abd Ghani, Mohd Yusof Chik dan jurulatih kelahiran Thailand, Vitaya Boontai diberi peranan mengemudi regu elit sepak takraw Terengganu yang diberi nama Young Turtles.

Penubuhannya turut mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan penaja utama, X Socio Markets yang dirasmikan di MSNT, semalam.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Shapian Ali berkata, penubuhan regu elit itu bermatlamat melahirkan pemain bertaraf kelas dunia yang mampu memikul tugas pasukan negara suatu hari nanti.

Beliau berkata, dengan adanya regu elit itu, ia secara tidak langsung bakal menggalas tugas pasukan negeri dalam beberapa kejohanan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan juga Liga Sepak Takraw Malaysia.

"Penubuhan pasukan Young Turtles bakal menjadi aset berharga bukan sahaja kepada pasukan negeri malah juga pasukan negara.

"Setakat ini, ia disertai lima pemain terpilih yang dilatih oleh tiga jurulatih berpengalaman dan mereka akan menyertai 10 kejohanan musim ini sebagai pendedahan kepada mereka sebelum menjadi regu benar-benar mantap," katanya selepas majlis perasmian regu Young Turtles di MSNT.

Hadir Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Tambahnya, pemain terpilih membarisi skuad itu ialah Ahmad Syazwan Ramzi; Muhammad Aidil Haikal Ghani; Alif Mursyid Rusli; Muhammad Hasmadi Wahab dan Mohammad Fareez Azrai Othman.

"Lima pemain terpilih ini akan dipantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa termasuk bakal dikenakan tindakan termasuk digugurkan daripada kem sekiranya tidak berdisiplin," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 6:27pm
d