arena

PSNT mahu singkir pemain tiada disiplin

Oleh Malik Muhamad

PONTENG latihan antara salah satu 'habuan' diterima Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) daripada pemainnya musim lalu.

Malah ada pemain yang dilabel 'anak emas' sebelum ini sanggup membelakangkan persatuan termasuk tidak hadir ketika perlawanan.

Itu pendedahan yang tidak sanggup lagi disembunyikan Presiden PSNT, Mohd Shapian Ali selepas melihat skuad negeri sekadar berada di tempat kelapan daripada sepuluh pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) Premier musim lalu biarpun bermula baik pada pusingan pertama.

Tidak mahu mendedahkan nama pemain terbabit, 'orang kuat' sukan sepak takraw Terengganu itu menyatakan pemain berkenaan kini bakal berdepan tindakan tatatertib termasuk mungkin akan disingkirkan atas kesalahan disiplin.

"Kami begitu kesal selepas perbelanjaan begitu besar dalam saingan STL musim lalu, ada pemain menunjukkan sikap dan perangai yang langsung tidak profesional ketika khidmatnya ditagih.

"Tewas ketika bertanding itu adat pertandingan, tapi sikap tidak profesional dan buat perangai ini yang menyebabkan kami tidak berpuas hati dengannya.

"Walaupun berbakat, tapi jika tidak ada disiplin mungkin kita akan sisihkan mereka daripada mewakili negeri dalam mana-mana kejohanan selepas ini," kata Mohd Shapian ketika berucap sempena penubuhan pasukan elit 'Young Turtles' di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), kelmarin.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 1:43pm
d