arena

Legenda Liverpool layan AC Milan

Oleh Daily Mail

KETIKA skuad Liverpool kendalian Jurgen Klopp bertarung memburu gelaran Liga Perdana, bekas bintang Anfield akan kembali beraksi pada Mac ini menentang AC Milan pada perlawanan pemain legenda.

Pertembungan yang akan menghidupkan kembali final Liga Juara-Juara (UCL) 2005 di Istanbul, Liverpool menyenaraikan tujuh pemain yang beraksi pada pertarungan di Turki untuk berdepan kelab Itali itu pada 23 Mac ini.

Kelibat Jamie Carragher serta Sami Hyypia akan disertai oleh Luis Garcia, Vladimir Smicer, Djimi Traore, Djibril Cisse dan Jerzy Dudek dengan ramai pemain daripada pelbagai era juga akan beraksi pada perlawanan di Anfield itu.

Dua penyerang bintang Reds iaitu Robbie Fowler dan Michael Owen yang berada dalam senarai skuad handalan Gerard Houllier yang memenangi treble musim 2001 akan kembali manakala Alan Kennedy selaku pemenang dua kali Piala Eropah dan juara liga lima kali bersama Liverpool pada 1970-an dan 80-an juga tampil.

Kebangkitan Liverpool diingati selepas ketinggalan 3-0 pada separuh masa menentang Milan pada final 2005.

Mereka bolos minit pertama menerusi Paolo Maldini sebelum dua jaringan Hernan Crespo meletakkan kelab Itali itu selesa mendahului tiga gol.

Rafa Benitez kemudian memasukkan Dietmar Hamann untuk mengawal pergerakan perancang Kaka sebelum Steven Gerrard menanduk masuk gol pertama m-54 diikuti Smicer dan Xabi Alonso menyamakan kedudukan 3-3.

Beberapa percubaan diselamatkan dengan cemerlang oleh Dudek termasuk bola dikeluarkan di atas garisan tepat pada masanya oleh Traore hingga membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Dudek kemudian menjadi wira menyelamatkan sepakan penalti Andriy Shevchenko untuk memastikan Reds menjulang kejuaraan UCL kelima mereka.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 1:14am
d