arena

Messi gagal lonjak Barca

Oleh AFP

REAL Madrid memulihkan maruah yang tercalar di Nou Camp apabila mengikat Barcelona 1-1 awal pagi tadi sekali gus mempunyai kelebihan pada separuh akhir Piala Raja Sepanyol.

Lionel Messi mahupun Gareth Bale tidak dinamakan dalam kesebelasan utama aksi separuh akhir pertama itu namun pengganti mereka mampu mengisi kekosongan ketika sepakan lencong Malcom pada minit ke-58 memadamkan gol awal Lucas Vazquez.

Selepas memukau dalam 20 minit pertama, Madrid tidak mampu mendominasi selepas itu namun keputusan itu melegakan mereka menjelang separuh akhir kedua di Santiago Bernabeu pada 27 Februari depan.

Bagi anak buah Santiago Solari, persembahan bersemangat dan berani itu turut memadamkan memori buruk apabila mereka dibelasah 5-1 Oktober lalu, keputusan yang menyebabkan Julen Lopetegui dipecat sehari kemudian.

“Perbandingan tidak membantu,” kata Solari. “Tapi keputusan ini membuktikan betapa pasukan ini bekerja keras.”

Messi, yang bergelut dengan masalah kecederaan paha dan Bale, yang berdepan masalah merebut tempat selepas pulih daripada kecederaan betis, kedua-duanya masuk selepas sejam namun tidak mampu mencetus gol kemenangan.

Sebaliknya Vazquez dan dua pemain remaja Brazil mencuri tumpuan. Vazquez menjaringkan gol pada minit keenam namun Vinicius Junior, pemain termuda Real Madrid tampil pada aksi Clasico abad ini, bertindak cemerlang sebelum pemain berusia 18 tahun itu dikeluarkan pada babak kedua.

“Saya tidak terkejut dengan cara dia bermain kerana saya mengenalinya sejak dia tiba,” kata Solari. “Tapi seorang pemain berusia 18 tahun bermain dan meningkat sebegini, ia amat mengejutkan.”

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 8:25am
d