arena

Waspada 'gigitan' Red Ants

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Menyedari aksi berdepan PKNS di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, menjanjikan pertarungan sengit, penjaga gol kebangsaan yang juga pemain bernilai skuad Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat jelas mahu rakan sepasukannya lebih berwaspada.

Bagi pemain yang popular dengan gelaran Apek itu, status pasukan tuan rumah sebagai ‘skuad pilihan’ musim ini tidak wajar dipandang mudah.

Menurutnya, berdasarkan kecemerlangan PKNS yang gah menduduki empat tangga terbaik Liga Super musim lalu, tidak mustahil bagi pasukan itu mampu memperbaiki ranking mereka tahun ini.

Justeru, katanya skuad MU perlu fokus serta komited tatkala berdepan lawan tanpa mengira sebarang strategi yang bakal disusun pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal.

Kata Apek, sememangnya pertembungan di laman lawan pasti mencabar namun tiada yang mustahil bagi skuad Hang Tuah untuk pulang dengan tiga mata kemenangan.

“Berdasarkan persembahan kami berdepan PJ City di Melaka minggu lalu, pastinya segala kelemahan yang ada akan segera diperbaiki bagi mengejar misi cemerlang pada pertemuan kali ini.

“Gerakan berpasukan dan kelebihan yang ada akan terus diperagakan untuk tidak menghampakan pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Jelasnya, dari sudut moral sudah pasti ada kelebihan buat pelawat berdasarkan kutipan tiga mata menewaskan PJ City, namun keceriaan itu sudah dilupakan untuk mengharungi ujian berdepan The Red Ants.

Sehubungan itu, katanya persiapan mental dan fizikal yang jitu kini menjadi keutamaan untuk memastikan Hijau Putih ceria membawa pulang mata berharga.

Pada pertemuan Sabtu lalu, MU tampil dengan barisan terbaik mereka termasuk menurunkan kelima-lima import baharu serta pemain berpengalaman Safiq Rahim dan Razman Roslan.

Justeru, Apek berjanji untuk terus tampil dengan aksi bertenaga bagi memastikan kejayaan pasukan walaupun bakal berdepan pemain terbaik pasukan lawan.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 7:33pm
d