arena

'Diamlah penyokong Arsenal'

Oleh AFP

KUAT di laman sendiri namun lembik apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Itulah dilema dihadapi pengendali Arsenal, Unai Emery yang menegaskan beliau tidak terjejas dengan kritikan terhadapnya ketika Gunners mahu kembali melakar kemenangan di Huddersfield, malam esok.

Anak buah Emery menuju ke Huddersfield dengan keyakinan mereka boleh menggunakan kelab tercorot Liga Perdana Inggeris itu sebagai penawar susulan kegagalan mereka menang di luar Stadium Emirates dalam aksi liga sejak 25 November lalu.

Penyokong Arsenal juga tidak teruja dengan persembahan hambar ketika mereka tewas 1-3 di Manchester City minggu lalu sekali gus mencetus pandangan Emery masih belum mampu mengatasi masalah sejak beliau mengambil alih daripada Arsene Wenger hujung musim lalu.

Namun jadual pertandingan memihak kepada pengendali dari Sepanyol itu dan tiga mata di Huddersfield akan mengukuhkan impian pasukan tangga keenam Arsenal untuk berakhir dalam kelompok empat teratas.

“Pengkritik pertama adalah diri saya sendiri,” katanya. “Saya menangani kritikan kerana tahu bekerja hari ini boleh mengubah cara kami.

“Kami mempunyai kemungkinan dan peluang untuk berada dalam kelompok empat teratas, tapi kami sedar ia tidak mudah. Sebulan lalu, kami berada dalam situasi sama. Kami kuat di laman sendiri tapi kami perlu bertindak lebih baik di gelanggang lawan.

“Kami bermula dengan bagus di laman lawan, mengubah mentaliti untuk meraih lebih banyak mata apabila beraksi di luar, tapi kini kami perlu memulihkan keyakinan dan peluang berikutnya menentang Huddersfield.”

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 10:54am
d