arena

28,000 tiket aksi Pahang-TFC

Oleh Asrol Awang

SEBANYAK 28,000 tiket diperuntukkan bagi aksi Liga Super antara Pahang dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Norlia Abdul Manaf berkata, mereka turut menyediakan satu kaunter khas wanita untuk memudahkan urusan pembelian tiket.

“Semua tiket mula dijual jam 10 pagi esok (hari perlawanan) iaitu harga tiket RM23 bagi tempat duduk grandstand, RM13 (berbumbung) dan RM10 (terbuka).

“Tiada kenaikan harga tiket musim ini dan harganya masih sama seperti musim lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagi keselesaan penyokong kedua-dua pasukan, beliau meminta peminat tiba lebih awal ke stadium bagi mengelak kesesakan.

Musim ini, Pahang bermula baik apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi pembuka tirai Liga Super minggu lalu.

Kemunculan semula penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme yang pernah membantu Pahang menjulang tiga trofi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah pada 2014 dijangka menarik penyokong ke stadium.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 2:55pm
d