arena

Qatar buat saya rasa bangga - Xavi

Oleh AFC

PEMAIN legenda Sepanyol, Xavi Hernandez berkata kejayaan Qatar menjuarai Piala Asia AFC 2019 tidak sepatutnya hadir sebagai kejutan kerana ia disebabkan program pembangunan bersistematik.

Qatar tidak pernah melepasi suku akhir pada penampilan sebelum ini pada pertarungan peringkat benua tetapi skuad Felix Sanchez meraih tujuh kemenangan termasuk menewaskan Jepun untuk muncul juara, minggu lalu.

Empat daripada tujuh kemenangan diraih dengan menewaskan empat juara Piala Asia AFC iaitu Arab Saudi, Iraq, Republik Korea dan Jepun.

Xavi berkata, Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) kini menerima ganjaran sepanjang membentuk program masa depan pasukan negara itu.

“Kita perlu ingat Persatuan Bolasepak Qatar menyediakan pasukan selama bertahun-tahun untuk memenangi pertandingan ini. Projek Akademi Aspire yang menjadi idea Sheikh Jassim Hamad Al Thani membuahkan kejayaan.

Peminat Qatar dapat melihat keputusan itu sekarang,” kata Xavi dalam temu ramah televisyen bersama Saluran Sukan Al Kass.

Qatar menundukkan juara empat kali Jepun 3-1 pada final.

Malah, Xavi menyifatkan kejayaan Maroons sebagai jenama berani bolasepak.

“Bolasepak Qatar berada di landasan betul. Kini anda dapat lihat keputusan pasukan itu. Mereka pasukan hebat sekarang. Saya bangga dengan pemain muda ini. Saya gembira melihat prestasi pemain di atas padang. Saya bangga berada di sini, di Qatar,” kata pemain berusia 39 tahun itu.

Xavi mengikat kontrak bersama Al Sadd dalam Qatar Stars League empat tahun lalu dari gergasi Sepanyol, Barcelona berkata peningkatan bukan satu keajaiban dalam bolasepak.

“Ramai peminat di Sepanyol memberitahu saya keajaiban bolasepak berlaku di Qatar. Saya jelaskan kepada mereka ini bukan keajaiban. Ia berpunca daripada persiapan selama bertahun-tahun, usaha hebat dan perancangan di Akademi Aspire”.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 4:15pm
d