arena

Singa Utara tunjuk taring

Oleh Syazwan Msar

SHAH ALAM: Skuad kontroversi, Perlis akhirnya menunjukkan taringnya apabila berjaya menundukkan UiTM 3-0 dalam perlawanan kedua Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, di sini, malam tadi.

Walaupun pasukan Singa Utara itu terus dibelenggu isu gaji namun skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid tetap tampil yakin dengan aksi lebih kemas berbanding sebelum ini sekali gus menolak khabar angin pemain skuad berkenaan hilang fokus untuk mengharungi perlawanan liga.

Bekas penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila berjaya meledak dua gol sekali gus memastikan kemenangan selesa buat pasukan pelawat.

Sebaik sepak mula perlawanan, tuan rumah lebih banyak melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan namun kehebatan penjaga gol Perlis Mohd Shahril Sa’ari berjaya menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi. Namun, kealpaan benteng pertahanan pasukan kendalian Ismail Zakaria dihukum apabila serangan balas skuad Singa Utara berjaya menghasilkan gol pada minit ke-31 oleh Khyril Muhymeen hasil hantaran Safee Sali.

Khyril Muhymeen sekali lagi bertindak cemerlang apabila mudah menyempurnakan hantaran lintang untuk jaringan kedua pada minit 36 sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.

Separuh masa kedua pula menyaksikan pasukan UiTM dan Perlis bermain lebih agresif namun Singa Utara lebih bijak mengambil peluang apabila menyumbat gol ketiga menerusi pemain importnya Kevin Osei.

Perlis seharusnya meraikan kemenangan dengan jaringan gol lebih besar apabila dua jaringan dibatalkan akibat ofsaid manakala tiga serangannya gagal menerjah gawang.

Kemenangan itu sekali gus membuatkan pengendali skuad Singa Utara itu menarik nafas lega ketika pasukan terbabit dilanda pelbagai masalah dalaman.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 11:32pm
d