arena

TFCII kekal rentak

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Jaringan penalti Akanni Sunday Wasiu memastikan skuad Terengganu FC II (TFC II) kekal dengan rentak kemenangan selepas menumpaskan pendatang baharu, Selangor United 1- 0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Bagaimanapun aksi hambar yang dipamerkan kedua-dua pasukan ternyata membosankan kira-kira 700 penonton yang hadir.

Sepanjang babak pertama berlangsung hanya satu percubaan bahaya daripada skuad The Turtles melalui sepakan percuma pemain kelahiran Ivory coast, Dechi Marcel pada minit ke-20 yang terkena palang gol pelawat.

Tiga lagi percubaan menerusi tandukan Wasiu pada minit ke-29, sepakan percuma Marcel pada minit ke-43 dan 45 sekadar mencemaskan kubu pelawat.

Manakala pelawat hanya memperoleh satu percubaan menerusi sepakan percuma pemain kelahiran Argentina, Sergio Fabian Ezequiel pada minit ke-16 yang gagal menembusi gawang tuan rumah dan percubaan selebihnya dilihat tersasar.

Bersambung babak kedua skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan dilihat lebih banyak mendominasi permainan dan nyaris memimpin perlawanan, tapi sepakan leret Wasiu pada minit ke-54 dalam kotak penalti sedikit keluar sebelah kanan pintu gol pelawat.

Usaha berterusan TFC II akhirnya membuahkan hasil apabila Wasiu meledak gol pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan kapten, Rizzal Fahmi Ab Rosid untuk mendahului 1-0.

TFC II berpeluang menambah jaringan sekali lagi menerusi Wasiu pada minit terakhir perlawanan, namun berjaya dihalang penjaga gol, Muhammad Nuraizat Abdul Aziz.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 11:40pm
d