arena

Saya tak fikir Liverpool tertekan: Guardiola

Oleh AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menolak andaian kejatuhan prestasi Liverpool ketika ini adalah disebabkan tekanan diberikan pasukannya.

City berjaya memintas anak buah Juergen Klopp untuk berada di puncak liga dengan perbezaan gol hasil kemenangan di Everton, Rabu lalu, seminggu selepas Liverpool mensia-siakan peluang untuk mendahului tujuh mata.

Liverpool kurang satu perlawanan dengan kedua-dua pasukan terikat 62 mata, namun keputusan seri berturut-turut ketika berdepan Leicester dan West Ham membolehkan City kembali dalam saingan merebut takhta liga.

City menanti kunjungan Chelsea malam esok dalam perlawanan yang disifatkan Guardiola sebagai ‘final’.

Mereka mungkin memulakan saingan di tangga kedua andai Liverpool menewaskan Bournemouth malam ini.

“Esok mereka akan bermain sebelum kami, saya fikir situasinya atau tekanannya akan berubah,” kata Guardiola.

“Liverpool pula sebaliknya. Saya tidak fikir Klopp, Virgil van Dijk merasai tekanan, begitu juga (Roberto) Firmino, (Mohamed) Salah dan (Sadio) Mane.

“Saya rasakan mereka bermain dengan baik dan cuba memenangi perlawanan dan saya fikir mereka akan kekal hingga akhir perlawanan dan kami perlu menang perlawanan kami.”

Guardiola berpeluang memanggil Kevin de Bruyne menentang kelab lamanya malam esok selepas mengetepikan pemain Belgium pada aksi ketika menewaskan Everton di Goodison Park.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 12:49am
d