arena

Kraljevic puas hati aksi pemain

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Marco Kraljevic berpuas hati selepas pasukannya mengutip satu mata berharga berdepan Sabah 3-3 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Kraljevic berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan moral dan semangat pemain kembali pulih selepas tewas tipis 1-0 dalam aksi pertama menentang Selangor United sebelum ini.

"Saya gembira dengan keputusan ini apabila segala perancangan diikuti pemain malam ini (malam tadi).

"Semua pemain mempamerkan persembahan cukup bertenaga walaupun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Pasukan tidak boleh selesa dengan keputusan ini, kerana perlu menempuhi banyak lagi perlawanan yang akan menentukan kedudukan dalam carta liga," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi pemain muda The Red Warriors (TRW) yang berjaya menyaingi kehebatan pemain Sabah yang dibarisi pemain berpengalaman.  

"Apapun, keputusannya saya yakin dengan kemampuan gandingan pemain muda dan import memberikan impak positif untuk memburu kemenangan pertama pada perlawanan ketiga menentang UKM FC nanti," katanya.

Pada aksi malam tadi, Kelantan bermula garang apabila bekas penyerang Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior menyempurnakan sepakan penalti namun penyerang Sabah, Luka Milunovic berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menjadikan kedudukan 1-1.

Bermula babak kedua, Kelantan menambah jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan susulan Nik Akif Syahiran sebelum pemain tengah Sabah, Maxsius Musa menjaringkan dua gol pada minit ke-78 dan ke-86 menjadikan kedudukan 3-2. Selang tiga minit selepas itu, Kelantan menyamakan kedudukan 3-3 menerusi sepakan deras Muhamnad Danial Haqim yang menerima hantaran Flavio sebelum perlawanan tamat.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 2:36pm
d