arena

Piala FA lebih 'meriah' [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Saingan Piala FA yang kini memasuki edisi ke-30 melakar sejarah tersendiri apabila menyaksikan pembabitan pasukan amatur terbesar dengan 38 pasukan bersaing di pusingan kelayakan bermula 16 dan 17 Februari ini.

Presiden kelab Shah Alam Antlers, Ahmad Suffian Mamat berkata, adalah menjadi impian buat setiap pasukan berstatus amatur untuk bertemu dengan pasukan-pasukan besar daripada liga profesional seperti di Liga Super dan Liga Perdana.

“Saya yakin semua kelab amatur memasang impian untuk bertemu kelab hebat seperti Johor Darul Ta’zim, Terengganu atau Selangor kerana kami sentiasa mahu bertemu kelab hebat dari liga atasan.

“Apapun saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL yang mana kali ini kita dapat menyaksikan penglibatan kelab amatur lebih banyak pada tahun ini.

“Saya percaya tindakan MFL ini akan memeriahkan lagi suasana bola sepak Malaysia,” katanya, di mana pasukannya Shah Alam Antlers akan menentang Real Chukai FC pada perlawanan kelayakan nanti.

Satu lagi pasukan pilihan yang dijangka mampu melepasi peringkat awal iaitu Puchong Fuerza FC turut bersetuju edisi kali ini cukup meriah dan dilihat sebagai medan untuk kelab amatur mengejutkan pasukan gergasi di saingan liga utama.

“Saya percaya penglibatan kelab-kelab amatur ini memberikan satu semangat untuk mereka bergerak ke arah profesional.

“Saya yakin Piala FA 2019 akan memberikan satu kelainan yang mana sudah pasti kami mahu bertemu dengan kelab-kelab hebat dari Liga Malaysia,” kata presidennya, Azrul Izwan Abdul Rahim dengan kelabnya bakal bertemu Tun Razak FC.

Daripada undian pusingan kelayakan ini, 36 pasukan akan bermain perlawanan pusingan kelayakan yang membabitkan 18 aksi dan dua pasukan yang mendapat bye secara automatik layak ke pusingan pertama.

Keputusan Undian Piala FA (Pusingan Kelayakan)

• XBBSB mln MOFAH FC

• Shah Alam Antlers mln Real Chukai FC

• Rawang City FC mln Batu Dua FC

• Kuatagh FC mln FC PemanisRaja

• Permin FF mln Klasiko FC

• KSR Sains mln Markless Soccer Team

• MPKJ FC mln Kingstown Klang FC

• DDM FC mln SAMB FC

• Kampung Raja Uda FC mln MPPD FC

• PIB mln Ampang United FC

• Newbies FC mln Protap FC

• Bonggol Tokku FC mln SA United

• Southern FC mln Kelantan United FC

• Glory United FC mln Ultimate FC

• Tun Razak FC mln Puchong Fuerza FC

• Kuching FA mln Armed Forces FC

• Isma FC mln Penjara FC

• Blastier Galicia FC mln Jerantut FA

**Aksi pusingan kelayakan pada 16 dan 17 Februari ini**

JBFA & MD Besut FC (Layak secara automatik ke pusingan pertama)

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 9:03pm
d