arena

Jin Wei sedia 'smash' Eropah

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Selepas cemerlang di Masters Malaysia bulan lalu, perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei berharap mampu mengulangi pencapaian berkenaan di Terbuka Jerman dan Seluruh England bulan depan.

Menurutnya, sebelum berkunjung ke Eropah dia mahu menjadikan Kejohanan Badminton Kebangsaan di Ipoh pada 18 hingga 23 Februari ini sebagai gelanggang pemanas badan.

“Sudah pasti ia akan menjadi kejohanan pemanas badan yang baik untuk saya sebelum aksi di Terbuka Jerman dan Seluruh England.

“Saya mahu membentuk prestasi terbaik sebelum menghadapi dua kejohanan itu,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Jelasnya, walaupun berjaya memberikan aksi terbaik di dua kejohanan berturut-turut iaitu Masters Malaysia dan Indonesia namun dia mengakui masih belum berada pada tahap kemuncak prestasi.

“Saya berharap mampu mencapainya di Jerman dan England nanti,” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu.

Jin Wei yang ketika ini menghuni ranking ke-27 dunia, membuka aksi musim ini dengan meyakinkan apabila berjaya mara ke separuh akhir Masters Malaysia, bulan lalu.

Dalam laluannya ke separuh akhir, dia berjaya mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi dan mengalahkan wakil China, He Bingjiao (ketujuh dunia) sebelum tumpas di tangan bintang sensasi Thailand, Ratchanok Intanon.

Bagaimanapun, Jin Wei gagal mengekalkan momentum itu apabila tersingkir di pusingan pertama Masters Indonesia empat hari kemudian selepas tewas kepada Bingjiao.

“Sebenarnya jurang saya dengan Bingjiao sudah tidak jauh. Saya tewas di Indonesia disebabkan terlalu banyak fikir dan takut untuk melakukan kesilapan, sekali gus terlepas beberapa mata penting,” kata Jin Wei yang tewas 21-16, 21-23, 20-22 di tangan Bingjiao di Jakarta.

Terbuka Jerman akan bermula 26 Februari hingga 3 Mac manakala Seluruh England 6 hingga 10 Mac.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 9:25pm
d